Osteoartritis Lutut: Apa Yang Anda Perlu Tahu ??

Osteoartritis Lutut: Apa Yang Anda Perlu Tahu 





Sumber artikel : - http://www.mmgazette.com/

Pernahkah anda bangun pagi dan mendapati kedua-dua lutut anda keras dan kaku, terutamanya apabila cuaca sejuk? Pernah mendengar bunyi klik (juga dikenali sebagai krepitus) atau merasa seperti sendi lutut anda bergesel setiap kali anda menggerakkannya? Kemungkinan besar anda mengalami sejenis penyakit degeneratif yang dikenali sebagai osteoartritis yang tidak hanya terhad kepada sendi lutut tetapi mungkin menyerang mana-mana sendi di badan anda. Artikel ini akan mengupas punca, simptom dan rawatan bagi osteoartritis lutut.

Mungkin anda tertanya-tanya, apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan osteoartritis? Mari kita leraikan perkataan yang panjang ini kepada dua perkataan yang mudah. Pertamanya, perkataan osteon yang berasal daripada perkataan Yunani yang bermaksud tulang. Kedua, perkataan artritis yang bermaksud radang sendi. Dalam bahasa mudah, osteoartritis merupakan artritis yang berlaku akibat penggunaan sendi yang menyebabkan lapisan selaput sendi (dikenali sebagai rawan) terhakis akibat perubahan struktur di dalam sendi. Keadaan ini berlaku akibat geseran berlebihan dua tulang seperti tulang femur (tulang peha) dan tibia (tulang kering) yang disebabkan oleh faktor-faktor tertentu. Pesakit osteoartritis akan merasa lega apabila sendi terbabit direhatkan dan sakit apabila sendi itu digunakan secara berlebihan. Keadaan yang sebaliknya berlaku bagi pesakit ‘Rheumatoid Arthritis’.

Tinjauan ‘Community Oriented Program for Control of Rheumatic Diseases’ (COPCORD) yang dijalankan di Malaysia pada tahun 2007 mendapati kebanyakan pesakit osteoartritis di Malaysia mengalami osteoartritis lutut, hasil yang sama didapati pada kajian yang dijalankan di Hong Kong. Kajian itu turut mendapati bahawa kebanyakan rakyat Malaysia berumur 55 tahun merasakan peningkatan  kadar kesakitan hingga 23% manakala kadar kesakitan meningkat sebanyak 39% bagi mereka yang berusia lebih 65 tahun.

Setiap orang mempunyai risiko mendapat osteoartritis tetapi menurut kajian yang dijalankan di Pakistan, China, Korea dan Jepun, golongan wanita, orang berumur dan orang obes mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat osteoartritis lutut. Bagaimana pula dengan pendapat bahawa melutut dan mencangkung mampu menyababkan osteoartritis lutut? Para pengkaji di Jepun mendapati bahawa mencangkung dan melutut secara berlebihan terutamanya ketika berkebun mampu mengakibatkan kecederaan kekal kepada lutut.

Maka apakah langkah-langkah pencegahan untuk menghindari osteoartritis lutut? Cara yang paling berkesan untuk mempunyai sepasang lutut yang sihat adalah dengan mengawal berat badan. Ini memerlukan senaman secara konsisten. Berjalan-jalan di pagi hari atau lebih elok lagi adalah dengan menghabiskan masa selama 30 minit di dalam kolam renang berhampiran anda merupakan senaman yang bagus. Menguatkan otot-otot di sekeliling lutut adalah amat penting kerana sendi ini adalah salah satu sendi yang menampung berat badan kita dan dapat mengelakkan terlalu banyak bebanan terhadap lutut tersebut. Sekiranya anda obes dan tidak pasti jenis senaman yang sesuai bagi anda, atau sering mengalami kesakitan di lutut setiap kali bersenam, sila rujuk profesional perubatan secepat mungkin. Osteoartritis merupakan penyakit degeneratif, sekiranya anda mendapatnya keadaan hanya akan beransur sakit. Maka adalah penting untuk bertindak awal, jangan biarkan osteoartritis menewaskan anda.

Encik Jonathan Goh seorang ahli fisioterapi yang bekerja di Sarawak. Beliau sangat mementingkan usaha meningkatkan kesedaran masyarakat tentang isu-isu seperti osteoartritis. Artikel ini diterjemah oleh Dr Hidayatul Radziah Ismawi. 

No comments:

Post a Comment