adik adik - Qayyum Irfan & Nazrin Amsyar (sekadar satu hiasan)
Anak anak zaman sekarang, semuanya dipermudahkan. Bila usia menginjak ke sekolah rendah sudah dibekalkan telefon bimbit yang khabarnya sebagai satu keperluan. Masa zaman aku sekolah dulu disediakan telefon awam dan juga boleh menggunakan telefon di pejabat sekolah jika keadaan memerlukan.
Bila menjengah ke peringkat menengah sudah disediakan komputer riba, malah ada yang diberi IPAD. Sayangnya teknologi canggih ini sekadar digunakan untuk bermain game dan mengemaskini status terkini melalui facebook. Teknologi yang ada tidak dimanfaatkan sewajarnya. Semuanya bagai satu keperluan dan satu kemestian. Kemewahan yang kadang kadang tidak sesuai dengan usia.
Waima, mengisi borang ke universiti pun diuruskan oleh ibubapa. Bila sudah masuk ke universiti dibelikan kereta, motor yang diceritakan sebagai satu kemudahan untuk anak anak belajar. Tetapi...? Mungkin sebaliknya. Bila dapat duit pinjaman belajar digunakan untuk membeli telefon bimbit yang lebih trendy.
Bila anak mula berkerja dan baru belajar membina kehidupan maka, di belikan pula rumah. Jika anak mahu berkahwin, disediakan perbelanjaan.
Mudah dan ringkas. Tidak ada daya usaha sendiri. Yang mengumpul duit dan berusaha adalah ibu bapa. Anak anak zaman sekarang umpama memetik jari, boleh dapat apa sahaja yang di ingini dalam sekelip mata sahaja. Wahh... seronok jadi anak zaman sekarang, tapi tidak mampu berdikari.
Masa zaman aku bersekolah rendah dulu, berjalan kaki ke sekolah. Yang agak jauh. Dari rumah nak ke sekolah berpeluh jugalah. Masa tu baru darjah satu. Kesusahan mak dan abah menjadikan aku dan abang tak kisah. Tetap pergi sekolah walau pun berjalan kaki dengan duit belanja 50 sen. Tidak pernah melencong ke tempat yang tak sewajarnya. Kalau ada kecemasan disekolah aku dan abang gunakan telefon awam dan telefon di pejabat sekolah. Meningkat ke darjah 4, semua keperluan sekolah di uruskan sendiri. Kasut di basuh dan di kapur sendiri. Baju di seterika sendiri. Keperluan beg sekolah juga dikemas sendiri. Zaman sekarang, kasut sekolah pun mak bapak basuh lagi.
Bila mendaftar diri di universiti, mak dan abah sekadar datang menghantar pada hari pertama. Bila cuti semester balik lah ke rumah naik bas. Bila semester break heret lah beg besar ke stesen bas. Belilah tiket sendiri. Di kampus, ke kuliah berjalan kaki. Buat assingment menggunakan komputer di lab yang disediakan pihak universiti. Jika mahu membeli barang pergi outing naik bas beramai ramai. Masa tu buat diploma, tanpa bantuan pelajaran dari mana mana agensi. Sekadar duit dari mak dan abah. RM 200 sebulan. Pandai pandailah menguruskan sendiri. Cukup atau tidak, bertahan sahaja lah hingga ke hujung bulan.
Kesukaran, menjadikan kita tahu menghadapi sebarang masalah. Bila bekerja, mula mengumpul duit utk membeli handphone sendiri. Beli rumah, bayar deposit guna duit sendiri, urusan guam pun guna duit sendiri. Bila berkahwin juga guna duit sendiri. Malah masih dapat menyumbang ke arah ibu bapa.
Kemewahan ibu bapa zaman sekarang menjadikan apa sahaja impian anak anak akan tercapai dalam jangkamasa yang begitu pantas. Sejujurnya aku tidak setuju cara begitu. Tapi, aku belum menjadi ibu bapa. Jadi tidak tahu dan tidak berani nak cakap. Mungkin aku pun akan jadi ibu bapa yang sebegitu... Allah sahaja yang tahu. Nanti kalau aku di beri peluang dan kesempatan memiliki cahaya mata, sebolehnya aku mahu dia belajar berdikari.. bukan bergantung hidup dengan kemewahan dan kesenangan yang dimiliki sahaja.